Monday, November 17, 2008

Formula ekonomi Tun Mahathir bukti kehebatan pemimpin Melayu

SHAH ALAM: Langkah Amerika Syarikat meniru formula ekonomi yang diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menangani krisis kewangan serantau yang berlaku 11 tahun lalu membuktikan kehebatan kepemimpinan Melayu diiktiraf dunia.

Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, berkata formula ekonomi yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri itu ternyata berjaya apabila Malaysia tidak meminjam daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) atau Bank Dunia sewaktu menangani krisis kewangan Asia pada 1997.

Pada masa itu, Malaysia antara lain memperkenalkan mekanisme seperti penetapan tambatan ringgit kepada dolar Amerika, mengenakan kawalan pilihan tukaran mata wang asing serta tidak memperdagangkan ringgit di peringat antarabangsa sehingga membolehkan negara bertahan dan seterusnya pulih daripada krisis itu.

“Kita dah buktikan formula ekonomi Tun Mahathir telah berjaya dan sekarang orang Amerika tiru formula Tun dalam menghadapi krisis (kewangan) dunia. Itu menunjukkan kehebatan pemimpin Melayu dalam ekonomi dunia.

“Pendek kata, kita berjaya melaksanakan pemerintahan dan kepimpinan Melayu bukan hanya dalam negara kita tetapi juga di dunia, dan kita akan menjadi lebih baik di masa depan,” katanya kepada pembertia selepas merasmikan satu program perancangan pengurusan industri anjuran bersama Felcra Bhd, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Antarabangsa Pengurusan Perladangan di sini hari ini.

Tajuddin berkata demikian ketika mengulas saranan Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini bahawa orang Melayu perlu sedar dan berusaha mengukuhkan politik Melayu melalui penyatuan kaumnya bagi mengelak daripada terus dicemuh dan dipersenda oleh pihak lain yang ingin mengambil kesempatan.

No comments:

Post a Comment

powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme