Thursday, December 4, 2008

Cabaran Piala Monsun bermula

Oleh IRMAN HASHIM
Utusan Malaysia

http://mieji.files.wordpress.com/2007/08/monsooncup-712384.jpg?w=256&h=119

KUALA TERENGGANU 3 Dis. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin merasmikan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun di Pulau Duyong di sini, hari ini yang menjadi pentas akhir sirkit Jelajah Match Racing Dunia (WMRT) 2007/2008.

Ketibaan Seri Paduka diiringi Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah ke Marina Club House, Riyaz Heritage Resorts and Spa disambut oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said serta Exco-exco kerajaan negeri.

Majlis perasmian kejohanan itu dimulakan dengan perarakan trofi Piala Monsun dan Piala Kristal WMRT dari Taman Shahbandar ke jeti Marina sejauh 500 meter diiringi sepasukan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Turut mengiringi perarakan tersebut ialah 12 buah bot penambang yang dinaiki 12 pasukan pelayar yang akan menyertai Piala Monsun dan 14 kapal layar optimis.

Sebanyak lima bot laju yang dinaiki pelayar-pelayar muda Formula Future juga mengiringi perarakan berkenaan.

Setibanya kedua-dua piala ke jeti, ia diarak pula oleh enam anggota TLDM sebelum diserahkan semula secara simbolik kepada Ahmad oleh penyandang juara Piala Monsun Malaysia dan WMRT, Ian Williams.

Dua pusingan perlumbaan dimulakan hari ini, sebaik selepas Tuanku Mizan merasmikan kejohanan berkenaan.

Kejohanan itu menyaksikan 12 pelayar termasuk Williams yang memimpin pasukan Pindar berentap bukan sahaja untuk merebut gelaran juara Piala Monsun malah tempat pertama dalam WMRT.

Turut bertanding ialah pasukan PST pimpinan Datuk Peter Gilmour, pasukan Origin diketuai pelayar Britain, Ben Ainslie; Australia, Keith Swinton (Black Swan Racing); Perancis, Sebastian Col (K-Challenge); Itali, Paolo Cian; Sweden, Magnus Holmberg (Victoy Challenge); Sweden, Johnie Bertnsson (Berntsson Sailling Team); New Zealand, Adam Minoprio dan Perancis, Mathieu Richard yang memimpin pasukan French Spirit.

Pelayar negara, Nurul Ain Md. Isa mewakili Malaysia dalam kejohanan itu.

Majlis perasmian berkenaan disiarkan secara langsung dan ulangan ke 137 negara di seluruh dunia melalui saluran televisyen sukan, ESPN yang dijangka disaksikan oleh lebih 1.5 juta penonton.

No comments:

Post a Comment

powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme