Tuesday, December 2, 2008

UMT tutup dilanda bah


KUALA TERENGGANU 1 Dis. - Kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Gong Badak hari ini terpaksa ditutup menyebabkan semua urusan pentadbirannya lumpuh berikutan banjir melanda kawasan itu sejak awal pagi ini.

Pihak pengurusan universiti itu mengisytiharkan hari ini sebagai cuti bencana alam berikutan jalan masuk ke universiti ditenggelami air sejak awal pagi menyebabkan kakitangan tidak dapat memasuki bangunan untuk memulakan tugas mereka pagi ini.

Hujan lebat yang bermula sejak pukul 1.30 pagi menyebabkan air naik setinggi 0.4 meter dalam tempoh sejam dan paras air kekal hingga tengah hari ini.

Bagaimanapun, tiada penuntut terlibat dalam banjir itu kerana sekarang ini mereka bercuti semester.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Sulaiman Md. Yassin ketika dihubungi berkata, pihak pengurusan UMT terpaksa mengambil tindakan sedemikian apabila laluan masuk ke universiti tidak boleh dilalui.

''Keadaan banjir ini menyebabkan 1,200 kakitangan UMT tidak dapat memasuki universiti menyebabkan pihak pengurusan mengambil keputusan mengisytiharkan cuti bencana alam hari ini," ujarnya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, selain UMT kira-kira 300 buah rumah di Perumahan Gong Badak 2 yang terletak berhampiran turut dilanda banjir kilat akibat hujan awal pagi ini.

Air yang naik setinggi paras paha itu menyebabkan beberapa penduduk perumahan berkenaan bertindak memecahkan tembok batu Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) Kampus KUSZA berhampiran bagi membolehkan air mengalir ke longkang.

Wakil Jawatankuasa Penduduk taman perumahan tersebut, Sulaiman Ngah berkata, kawasan perumahan berkenaan telah beberapa kali dinaiki air sejak pembinaan tembok batu UDM kira-kira tujuh tahun lalu.

''Setiap kali hujan lebat yang menyebabkan banjir, penduduk kampung terpaksa memecahkan sebahagian kecil tembok tersebut bagi membolehkan air mengalir. Jika kami tidak mengambil tindakan itu air mungkin naik ke paras dada.

''Kami pernah meminta pihak UDM mengambil pendekatan alternatif dalam pembinaan tembok batu tersebut tetapi tidak diendahkan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Roslina Mohd. Noor, 29, berkata, dia dan empat orang anaknya tidur kira-kira pukul 1 pagi ketika hujan baru bermula.

''Anak sulung saya berusia sembilan tahun tidur di atas lantai dengan berlapikkan tilam nipis manakala saya dan tiga anak lain tidur di atas katil. Kira-kira pukul 2.30 pagi, dia bangun dan beritahu kata lantai basah.

''Apabila saya bangun, saya lihat air sudah masuk ke dalam rumah dan jiran-jiran berkumpul di luar rumah masing-masing," ujarnya.

Suri rumah berkenaan yang tinggal di perumahan itu sejak enam tahun lalu berkata, air mula surut selepas beberapa penduduk memecahkan tembok berkenaan.



-UTUSAN MALAYSIA

1 comment:

  1. apsal kite plak yg jd mangsa?
    berita atas kata UMT..aleh2 pagar UDM dipecahkan..xpaham aku ni..

    ReplyDelete

powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme