Monday, February 22, 2010

Kampus USM di India

Oleh Betty Subaryati
bhkb@bharian.com.my




IPTA pertama buka cawangan di luar negara

KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta sejarah menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan pertama mengembangkan sayapnya ke luar negara dengan membuka kampus cawangannya di India.

Kampus pertamanya di luar negara itu akan ditempatkan di Jawaharlal Nehru Medical University di Belgaum, Karnataka, dan menawarkan pengajian perubatan dengan pengambilan kumpulan pertama seramai 100 pelajar, Julai depan

Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abd Razak, berkata buat permulaan keutamaan akan diberi kepada pelajar Malaysia sebelum dibuka kepada penuntut antarabangsa. "USM menerima pelawaan untuk membuka kampus cawangan di India, baru-baru ini dan bersetuju mengembangkan operasinya. Kampus India ini akan menggunakan sepenuhnya kurikulum bersepadu USM.

"Prasarana dan kemudahan lain termasuk asrama dan peralatan makmal akan disediakan Jawaharlal Nehru Medical University.

"Program pengajian perubatan di USM India dijangka akan mengambil masa lima tahun dengan keseluruhan yuran pengajian dijangka kira-kira RM350,000 (US$100,000)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian Sijil MS ISO 9001:2008 kepada Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Dr Zaidon Kamari dan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Datuk Mafauzy Mohamed.

Pada majlis sama, Dzulkifli turut menyampaikan anugerah kepada pemenang pertandingan Konvensyen Kualiti dan Inovasi (KIK), membabitkan 10 kategori antaranya asrama pelajar, laman web dan Makmal Diagnostik dan Analitik.

USM yang mencipta sejarah menjadi universiti awam pertama dipilih sebagai Universiti Apex pada September 2008, mensasarkan untuk disenaraikan dalam 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh lima tahun dan 50 terbaik menjelang 2020.

Dr Dzulkifli berkata, bagi menjayakan usaha itu, USM juga akan melatih beberapa pegawai dari universiti ini di sini untuk menjadi tenaga pengajar di kampus cawangan India.

"Usaha ini adalah untuk merealisasikan USM sebagai Universiti Apex sepenuhnya menjelang 2013 dan sekiranya berjaya, ia merancang mengembangkan sayapnya ke beberapa negara lain seperti Timur Tengah," katanya.

Dalam pada itu, Dr Dzulkifli berkata, USM akan membuka satu lagi kampus cawangan di Nilai, Negeri Sembilan, tahun depan bagi menampung jumlah pelajarnya yang kini berjumlah kira-kira 30,000, di empat kampusnya sekarang.

"Daripada jumlah itu, kira-kira 20,000 pelajar adalah prasiswazah, manakala 10,000 lagi pelajar pasca siswazah. Kementerian Pengajian Tinggi meminta ditambah bilangan pelajar prasiswazah kepada 30,000 dan untuk itu USM memerlukan kampus baru," katanya.

No comments:

Post a Comment

powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme