Monday, October 11, 2010

Ganjaran Solat Di Saf Pertama

Tahukah kita bahawa beruntungnya jika kita bersolat di saf paling hadapan kerana kita akan didoakan oleh malaikat dan mendapat ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW ada berpesan kepada kita semua: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat berselawat kepada orang yang berada di saf yang pertama.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban). Inilah bukti anjuran Islam dalam menggalakkan umat agar berebut untuk menunaikan solat di barisan pertama.

Kemudian Rasulullah SAW juga mengatakan bahawa jika manusia mengetahui fadilat bersolat di saf hadapan, nescaya mereka berebut-rebut untuk mendapatkan tempat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Marilah kita hayati peringatan Nabi SAW ini: “Sebaik-baik saf orang lelaki ialah yang pertamanya dan yang paling buruk ialah yang terakhir, dan saf wanita yang terbaik ialah yang terakhirnya dan yang paling buruk ialah yang paling hadapan.” (Hadis riwayaat Abu Daud, At-Tirmidzi).

Ini ada satu kisah bagaimana Nabi SAW mendidik sahabat dalam mengerjakan solat berjemaah. Daripada Sa’ed Al-Khudry R.A. bahawa Rasulullah SAW mendapati ada di kalangan sahabatnya melambat-lambatkan diri mereka untuk menyertai saf pertama, lantas Baginda SAW mengingatkan mereka:

“Ke hadapanlah kamu dan sempurnakanlah (saf) bersama denganku, akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan ke belakang (meninggalkan saf yang pertama) sehingga Allah akhirnya memasukkannya ke dalam neraka.” (hadis riwayat Muslim). Perhatikan baik-baik akan sabda Nabi SAW itu. “….akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan meninggalkan saf yang pertama…”. Mungkin kitalah kaum yang dikatakan Nabi SAW itu? Fikir dan renungkanlah.

Dalam sebuah hadis lain Nabi SAW ada mengatakan: “Hadirilah solat Jumaat, dan hampirilah imam kerana sesungguhnya seorang lelaki itu akan berterusan menjauhkan sehingga ia akan dilambatkan daripada memasuki syurga walaupun ia memasukinya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

No comments:

Post a Comment

powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme