Saturday, October 16, 2010

Intipati Bajet 11

Berikut ialah inti pati Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat hari ini:

* RM212 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2011 iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2010.

* Daripada jumlah itu, RM162.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.2 bagi perbelanjaan pembangunan.

* Di bawah peruntukan mengurus, RM45.6 bilion adalah bagi emolumen dan RM28.2 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan, RM86.4 billion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap.

* Sejumlah RM1.4 bilion disediakan untuk pembelian aset dan RM1.2 bilion untuk perbelanjaan lain.

* Bagi peruntukan pembangunan, RM28.3 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar.

* Sejumlah RM15.5 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* RM4.4 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM955 juta bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

* Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2011, jumlahnya dianggarkan meningkat 2.3 peratus kepada RM165.8 bilion berbanding RM162.1 bilion pada tahun 2010.

* Defisit Kerajaan Persekutuan bagi 2011 dijangka terus berkurangan kepada 5.4 peratus daripada KDNK berbanding 5.6 peratus pada 2010.

* Untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 billion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.

* RM213 juta lagi dibajet sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada Pengetua atau Guru Besar dan Guru Cemerlang.

* Enrolmen prasekolah akan ditingkatkan dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan ijazah.

* RM111 juta diperuntukkan bagi program PERMATA antaranya bagi pembinaan fasa 2 Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap.

* RM250 juta diperuntukkan bagi sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.

* Kerajaan juga bersetuju membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta sebagai mengiktiraf pendidikan Islam.

* Bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, kerajaan menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran.

* Sejumlah RM213 juta diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan Bahasa Malaysia, mempersadakan Bahasa Inggeris dan memperkemaskan kurikulum standard sekolah rendah.

* Kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan lagi pengajaran Bahasa Inggeris.

* Peratusan staf akademik berkelulusan PhD ditambah kepada 75 peratus bagi universiti penyelidikan dan 60 peratus bagi IPTA lain dengan peruntukan RM20 juta.

DANA PENCEN SWASTA UNTUK MANFAAT PEKERJA SEKTOR SWASTA DAN BEKERJA SENDIRI

KUALA LUMPUR 15 Okt. — Kerajaan akan melancarkan Dana Pencen Swasta tahun depan bagi memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 sedia ada bagi caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperluaskan untuk meliputi caruman yang dibuat kepada dana itu termasuk caruman oleh mereka yang bekerja sendiri.

"Majikan juga akan diberi potongan cukai ke atas caruman yang dibuat bagi pihak pekerjanya. Ini akan memberikan pilihan kepada rakyat bagi melabur untuk hari tua mereka,” katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera akan melancarkan Skim Amanah Hartanah Bumiputera pada tahun ini dengan saiz bernilai RM1 bilion dan patuh syariah.

"Sebagai penyertaan yang lebih bermakna dan mapan oleh golongan bumiputera, yayasan tersebut akan memberi peluang pemilikan bumiputera dalam sektor hartanah komersil utama di bandar utama dalam negara.

"Bumiputera dapat melanggan dalam tabung pemilikan hartanah komersial kelas utama di Lembah Klang melalui skim pemilikan berkelompok,” katanya. - BERNAMA


PENGECUALIAN DUTI SETEM BAGI SURAT CARA PINDAH MILIK RUMAH KEDIAMAN

KUALA LUMPUR 15 Okt. — Dalam usaha untuk memastikan setiap rakyat memiliki rumah kediaman, kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem bagi surat cara pindah milik rumah kediaman.

Bagi menggalakkan pemilikan rumah pertama, dicadangkan pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus diberikan ke atas surat cara pindah milik sebuah rumah yang berharga tidak melebihi RM350,000.

Pengecualian itu diberikan bagi pembelian rumah pertama oleh rakyat Malaysia dan layak dituntut sekali sahaja dalam tempoh pengecualian, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.

Rumah kediaman termasuk rumah teres, kondominium, pangsapuri atau rumah pangsa, kata beliau semasa membentangkan Bajet 2011 di Parlimen di sini, hari ini.

Tarikh kuat kuasa bagi pengecualian adalah bagi perjanjian jual dan beli yang disempurnakan mulai 1 Januari, 2011 dan 31 Disember, 2012, kata Najib.

Bagi pengecualian duti setem surat cara pinjaman bagi rumah kediaman, beliau berkata terdapat pengecualian duti setem 50 peratus bagi harga rumah kediaman tidak melebihi RM350,000.

Pengecualian ini terpakai bagi perjanian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari, 2011 hingga 31 Disember, 2012. - BERNAMA


* Pengecualian duti eksais 100 peratus ke atas pembelian sebuah kenderaan nasional oleh Orang Kelainan Upaya (OKU).

* Memperluaskan pelepasan cukai ke atas perbelanjaan perubatan ibu bapa sehingga RM5,000.

* Mengecualikan 50 peratus duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi rumah kediaman pertama.

* Mengecualikan 100 peratus duti import dan duti eksais ke atas kereta hibrid.
* Melaksanakan Program Latihan 1Malaysia dengan peruntukan RM500 juta di Kolej Komuniti, IKBN, ILP dan Pusat Giat Mara.

* Menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara sebagai platform dalam penetapan gaji dan pengenalan gaji minimum mulai Januari 2011.

* Menambah baik peluang kenaikan pangkat pensyarah di IPTA ke peringkat tertinggi Gred Turus III, II dan I serta penganugerahan Profesor Ulung.

* Menubuhkan Dana Belia 1Malaysia berjumlah RM20 juta.

* Menaikkan imbuhan Guru KAFA dari RM500 kepada RM800 sebulan.

* Menaikkan elaun bulanan RM750 sebulan kepada imam.

* Menaikkan elaun kepada Pengerusi JKKK dan Pengerusi JKKP, Tok Batin, dan Pengerusi JKKK Orang Asli, Pengerusi JK Kampung Baru, Pengerusi JK Kampung Baru Rangkaian dan Pengerusi JK Kampung Bagan dari RM450 kepada RM800.

* Elaun kehadiran mesyuarat kepada semua Ahli Jawatankuasa dinaikkan dari RM30 ke RM50.

* Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah, pegawai kontrak dan pesara kerajaan.

* Memansuhkan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

* Menyambung perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember untuk tempoh satu tahun lagi.

* Menaikkan kadar pinjaman perumahan kakitangan awam kepada RM20,000 untuk kerja-kerja tambahan rumah kos rendah bagi Kumpulan Sokongan Dua.

* Menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kakitangan awam kepada RM450,000.

* Menaikkan kadar Bantuan Mengurus Jenazah kepada RM3,000.

* Memberi fleksibiliti dengan menentukan cuti bersalin sehingga 90 hari kepada penjawat awam wanita tertakluk kepada had semasa 300 hari.

PENJAWAT AWAM WANITA BERPELUANG CUTI BERSALIN BERGAJI PENUH 90 HARI

KUALA LUMPUR 15 Okt. — Penjawat awam wanita di negara ini akan diberi fleksibiliti kemudahan mengambil cuti bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari, berbanding 60 hari pada masa ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kemudahan, yang bertujuan menambah baik kemudahan cuti bersalin penjawat awam wanita, bagaimanapun tertakluk kepada kelayakan keseluruhan bilangan Cuti Bersalin sebanyak 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatan.

"Sememangnya pun, kerajaan sungguh mengambil berat dengan kerjaya dan kebajikan penjawat awam wanita. Mereka juga perlu memberi tumpuan kepada penjagaan keluarga, terutama anak yang baru dilahirkan,” kata Najib, yang juga Menteri Kewangan, ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM30 juta bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan, termasuk untuk memperkenalkan Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal dan mengadakan Anugerah Perdana Usahawan dan Tokoh Aktivis Wanita bersempena Hari Wanita mulai tahun depan.

Beliau berkata, kerajaan telah merintis jalan dan membuka peluang kepada wanita berkelayakan memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam perkhidmatan awam, di mana pada akhir 2009, wanita yang memegang Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) mencapai tahap 30.5 peratus. - BERNAMA


KERAJAAN CADANG MANSUH DUTI IMPORT 300 BARANGAN KEGEMARAN PELANCONG

KUALA LUMPUR 15 Okt. — Kerajaan bercadang memansuhkan duti import ke atas kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan pada kadar 5 peratus sehingga 30 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini bagi menjadikan Malaysia destinasi utama membeli-belah di rantau Asia dengan menawarkan barangan berjenama pada harga yang kompetitif.

"Barangan ini merangkumi kegunaan harian seperti beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut, bola golf, barang kemas tiruan, bedak talkum, syampu, langsir, alas meja, selimut, cadar, kemeja, baju tidur, pakaian dan pakaian malam, seluar dan seluar dalam serta wangi-wangian, termasuklah kelambu,” katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata, dalam usaha untuk merancakkan dan menyokong industri pelancongan di Malaysia, kerajaan akan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk memperuntukkan RM100 juta.

"Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM85 juta untuk menyediakan kemudahan infrastruktur bagi membolehkan pembinaan hotel dan resort peranginan di kawasan pedalaman yang berpotensi menarik pelancong.

"Membina beberapa laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan lingkaran KLCC-Bukit Bintang dengan peruntukan sebanyak RM50 juta dan menyusun semula Jabatan Penerbangan Awam menjadi Lembaga Penerbangan Awam,” katanya. - BERNAMA

* Skim Rumah Pertamaku dengan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000.

* Menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah untuk pekerja estet oleh BSN.

* Program Bantuan Rumah (12,000 unit) untuk golongan miskin dan miskin tegar dengan peruntukan RM300 juta.

* Mewujudkan “Portal 1Malaysia Pengguna Bijak”.

* Memperkenalkan Program Pengedaran Barang Perlu bagi menyeragamkan harga barangan.

* Memperkenalkan Program Transformasi Kedai Runcit, Bengkel Automotif dan Projek Pasar Komuniti.

* Melancarkan Dana Pencen Swasta.

* Melancarkan Skim Amanah Hartanah Bumiputera bernilai RM1 bilion dan patuh syariat.

* Menyediakan multivitamin untuk pelajar sekolah rendah seluruh negara.

* Meneruskan program subsidi bayaran bil elektrik bagi penggunaan bawah RM20 sebulan.

* Kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Berhad tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang bermula serta-merta.

* Mengkaji semula had minimum kebankrapan yang pada masa ini berjumlah RM30,000.

* Permohonan PR boleh dilakukan selepas lima tahun.

* Menyediakan empat buah bas sebagai Klinik Bergerak.

* Merangka Model Baru Pembangunan Orang Asli dan Pribumi.

* Memperkukuh JHEOA dengan mentransformasi kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli.

BPTF LANCAR SKIM AMANAH HARTA BUMIPUTERA PATUH SYARIAH RM1 BILION

KUALA LUMPUR 15 Okt. — Yayasan Amanah Harta Bumiputera (BPTF) akan melancarkan Skim Amanah Harta Bumiputera Patuh Syariah bersaiz RM1 bilion tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dana itu akan digunakan untuk membolehkan pemilikan harta komersial utama di Lembah Klang melalui skim pemilikan berkelompok, kata beliau ketika membentangkan Bajet 2011 di Parlimen di sini hari ini.

Ini akan memastikan penyertaan bumiputera yang lebih bermakna dan mampan dalam harta komersial utama di bandar utama, kata beliau. - BERNAMA


Kredit - Utusan

No comments:

Post a Comment

powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme